Kirimkan Surat Pengharapanmu di tengah malam...
Jadikan air matamu sebagai dakwatnya,
Kedua pipimu sebagai kertasnya,
Kepasrahan sebagai setemnya,
Dan arasy Ilahi sebagai alamatnya,
Setelah itu, tunggulah jawapannya...

-Dr Aidh Abdullah al-Qarni-

Friday, February 25, 2011

ADAKAH MASJID MEMUSUHI KANAK-KANAK?

Oleh: Abdullah al-Bantinji



     Gambar di atas telah saya ambil di sebuah masjid di Batang Kali. Apakah hal ini bermaksud masjid memusuhi kanak-kanak? Mari kita perbahaskannya.

Memperbelakangkan Saf Kanak-Kanak

     Acapkali kita lihat di masjid, kanak-kanak dikhususkan dalam satu saf dan saf tersebut dibelakangkan di bahagian belakang dewan solat (jauh jaraknya daripada saf orang dewasa). Beberapa situasi yang kita lihat di sini ialah, pertama, kanak-kanak diasingkan daripada orang dewasa.
Keduanya, saf kanak-kanak itu diletakkan jauh di belakang dewan solat.

     Fenomena ini merupakan fenomena yang sudah biasa dalam masyarakat kita. Tidak dinafikan bahawa pendapat yang menyatakan saf kanak-kanak perlu diasingkan daripada saf dewasa juga sebahagian daripada ijtihad ulama’ berdasarkan beberapa dalil yang akan dibincangkan.

Galakan Membawa Anak Ke Masjid

     Membawa anak-anak ke masjid ialah satu perbuatan yang amat digalakkan. Hal ini demikian kerana dengan melazimkannya akan membiasakan mereka untuk bersolat di masjid. Adalah menjadi tanggungjawab dan perhatian setiap ibu bapa supaya menyuruh mereka solat dan melazimkan mereka ke masjid apabila anak-anak mereka mencapai umur tujuh tahun. Setelah mencapai umur sepuluh tahun, pukullah mereka sekiranya mereka tidak menunaikan solat. Sabda Nabi S.A.W.:

     “Peritahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan solat) ketika umur mereka sepuluh tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.”
                                                                                                                                (HR. Abu Daud, Sohih)

     Berdasarkan hadis, Nabi menyuruh ibu bapa mengajar anak-anak menunaikan solat pada umur tujuh tahun. Justeru dari waktu inilah bermulanya pendidikan mengenai solat terhadap kanak-kanak. Mereka sepatutnya sudah mula diajarkan cara-cara menunaikan solat dan mengajar mereka mengenali institusi masjid.

     Inilah tarbiah (didikan) kepada anak-anak yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W. menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat itu dalam Islam. Selain itu ibu bapa juga perlu beri perhatian dalam memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.

     Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansari r.a., beliau berkata yangmembawa maksud:

      “Aku melihat Nabi S.A.W. mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-Ansari yang juga merupakan anak perempuan Zainab binti Rasulullah S.A.W.. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun daripada sujud baginda mengangkatnya semula.”
                                                                                                                                                (HR. Muslim)

     Berdasarkan hadis, pelajaran-pelajaran yang dapat diambil:

1)           Perbuatan Nabi S.A.W. mendukung cucumya, Umamah sewaktu mengimami solat menujukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.
2)           Perbuatan Nabi ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum baligh dan mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang seperti yang disalah fahami oleh sebahagian masyarakat kita ini. Kata mereka, sekiranya kanak-kanak berada di dalam satu saf dengan orang dewasa akan menyebabkan satu saf terbatal kerana kanak-kanak menanggung najis. Pendapat ini batil sama sekali.
3)           Pergerakan yang lebih daripada tiga kali tidak membatalkan solat seseorang. Perbuatan Rasulullah S.A.W. meletak dan mengangkat cucunya pasti melebihi tiga pergerakan yang besar tetapi ia tidak membatalkan solat.     

     Kesimpulannya , sekiranya kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz iaitu dalam lingkungan tujuh tahun ke atas maka tidak dihalang untuk mereka dibawa ke masjid bahkan ia digalakkan sebagai latihan untuk membiasakan mereka bersolat di masjid. Adapun kanak-kanak yang kurang daripada umur tujuh tahun atau yang belum mumiyiz tidak digalakkan dibawa ke masjid kerana dikhuwatiri akan mengganggu orang lain dan mengotorkan masjid. Namun, sekiranya dapat dikawal, tidak mengapa. Juga sekiranya ada hajat yang mendesak, contohnya seperti tiada sesiapa yang boleh menjaganya di rumah. Hal ini antara yang dinyatakan oleh Lajnah Daimah iaitu majlis fatwa Saudi juga pendapat yang dikemukakan oleh Syeikh Soleh al-Fauzan.

     Adapun hadis yang digunapakai oleh sebahagian pihak yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid merupakan hadis dhaif (lemah) dan ia

tidak boleh dijadikan hujah. Hadisnya bermaksud:

     “Jauhkanlah kanak-kanak daripada masjid.”
                                                                                                                                (HR. Ibn Hibban, Dhaif)

Hujah Kanak-Kanak Boleh Bercampur Dengan Orang Dewasa Dalam Solat

     Berikut merupakan dalil yang menunjukkan kanak-kanak boleh bercampur dengan orang dewasa dalam satu saf:

1)   Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.a., beliau berkata:

     “Nabi S.A.W. bersolat di rumah Ummu Sulaim, aku (Anas) dan seorang anak yatim mengikutnya bersolat di belakangnya dan Ummu Sulaim di belakang kami.”
                                                                                                                            (HR. Bukhari dan Muslim)

     Jadi, berasarkan hadis, Anas bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi S.A.W.. Maka, sudah tentu anak yatim tersebut ialah seorang yang belum baligh kerana, sekiranya dia sudah baligh, dia tidak dipanggil anak yatim lagi. Hal ini menunjukkan seorang kanak-kanak boleh berada satu saf dengan orang dewasa.

2)   Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ibn Abbas r.a. berkata yang bermaksud:

     “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu Nabi S.A.W. bersolat. Maka aku pun bersolat bersamanya lalu berdiri di sebelah kirinya. Kemudian Nabi S.A.W. memegang kepalaku sambil menarik aku ke sebelah kanannya.”
                                                                                                                                               (HR. Bukhari)

     Berdasarkan hadis, Ibn Abbas yang ketika itu masih kecil bersolat bersama Nabi S.A.W.. Hal ini menunjukkan kanak-kanak boleh berada di belakang imam di dalam solat.

Pendapat Di Dalam Kitab-Kitab Fiqh

     Di dalam kitab-kitab fiqh dinyatakan susunan saf ketika solat berjemaah seperti yang dinyatakan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya ‘al-Mufassal’(1), “Hendaklah saf dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan.”  

     Pendapat ini juga dipegang oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi al-Hanbali seperti yang dinyatakan di dalam kitab ‘al-Mughni’(2)

     Dalam kalangan ulama’ Syafi’eyyah juga berpendapat sedemikian. Tetapi, sekiranya kita melihat dengan teliti, kita akan dapati mereka tidak mengkhususkan satu saf untuk kanak-kanak sehingga mereka langsung tidak boleh bersolat satu saf dengan orang dewasa. Hal ini dibuktikan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya, ‘Mughni al-Muhtaj ila Makrifati Ma’ani alfaz al-Minhaj’(3). Katanya:

     “Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa, maka ia diisi dengan kanak-kanak.”

     Jelaslah bahawa sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa, ia boleh diisi dengan kanak-kanak. Hal ini amatlah kontradiksi dengan fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Walaupun terdapat banyak ruang kosong dalam saf dewasa, kanak-kanak tetap dipinggirkan dalam satu saf yang khusus di belakang dewan solat.

Menghususkan Saf Untuk Kanak-Kanak

     Antara dalil yang digunapakai oleh mereka yang mengkhususkan saf bagi kanak-kanak sehingga menjadikan saf kanak-kanak jauh di belakang dewan solat ialah:

1)   Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Sabda Nabi S.A.W.:

     “Hendaklah mereka yang berada di belakangku ahli ahlam (baligh) dan Nuha (berakal), kemudian seterusnya mdan seterusnya.”
                                                                                                                                                (HR. Muslim)

     Ulil ahlam dan Nuha juga bermaksud mereka yang mempunyai ilmu dan tahu hukum-hakam solat berjemaah (boleh membetulkan imam sekiranya silap).

     Syeikh Soleh Ibn Utsaiman menjawab: Dalil ini tidak tepat untuk dijadikan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa. Hal ini juga bertentangan dengan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendahului orang lain kepada sesuatu maka dia lebih berhak mendapatkannya.”

     Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim ini membawa maksud galakan dan gesaan kepada ulil ahlam dan Nuha iaitu yang baligh dan berakal supaya berada di belakang Rasulullah kerana mereka lebih faham daripada kanak-kanak. Nabi tidak menyatakan jangan berada di belakangku kecuali yang baligh dan berakal (bukan satu tegahan kepada kanak-kanak untuk berada di belakang Rasulullah).
Sekiranya lafaz hadis datang seperti lafaz ini iaitu tegahan berada di belakang Nabi kecuali kepada mereka yang dinyatakan maka ketika itu barulah membawa hukum kanak-kanak tidak boleh berada di saf belakang Nabi S.A.W..

     Tetapi walaupun demikian para ulama’ bersetuju bahawa mereka yang sepatutnya berada di belakang imam ialah mereka yang baligh dan berakal yang mempunyai ilmu tentang solat, supaya sekiranya berlaku sesuatu maka orang yang berada di belakang imam tahu apa yang perlu dilakukan. Contohnya apabila imam batal solat, makmum di belakang imam dapat bertindak menggantikan imam mengikut kaifiyat yang betul.

     Ingin saya ingatkan bahawa bukan hanya kanak-kanak sahaja yang tidak sepatutnya duduk di belakang imam tetapi merupakan suatu kesalahan juga sebahagian orang awam dewasa yang sering berada di belakang imam malahan berada tepat belakang imam sedangkan mereka kurang ilmu tentang solat jemaah. Nanti akan menyebabkan mereka tidak tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya sesuatu berlaku kepada imam.

2)   Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud:

     “Rasulullah S.A.W. menjadikan saf orang dewasa di hadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak di belakang mereka sementara saf perempuan di
belakang kanak-kanak.”

     Syeikh al-Baani mengatakan: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhaif (lemah). Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ia tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Rasulullah S.A.W. menjadi hujah dalam masalah ini.”(4).

     Ini ialah kata Syeikh al-Baani, seorang ulama’ hadis yang terkenal. Adalah dalam hidupnya itu mengkaji hadis. Beliau juga telah menulis kitab-kitab hadis yang mengasingkan antara hak dan batil. Dan katanya dia tidak menemui suatu dalil mengasingkan saf kanak-kanak daripada orang dewasa pun selain hadis tersebut. Justeru, pendapatnya tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf orang dewasa sekiranya ada kosong kerana terdapat dalil yang boleh dijadikan hujah.

3)   hujah lain yang cukup popular dalam bibir-bibir masyarakat ialah kanak-kanak menanggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah satu saf tersebut. Hujah ini ialah hujah yang tidak dibina atas sebarang dalil. Mungkin ia cuma qaulul insan (kata-kata manusia) yang dibina oleh orang dewasa untuk mendatangkan keegoannya membeza-bezakan mereka dengan kanak-kanak. Bahkan terdapat hadis yang menyatakan Rasulullah mendukung cucunya, Umamah ketika solat.

     Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukum najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam al-Syafi’e dan selainnya.

Perkara Negatif Yang Berlaku Sekiranya Mengasingkan Kanak-Kanak Di Belakang Dewan Solat:

1)           Menyebabkan kanak-kanak tidak suka kepada masjid, apabila hal ini berterusan mereka akan berasa bagai tidak dipedulikan kerana mereka diletakkan di belakang dewan solat. Apabila mereka meningkat dewasa mereka akan menjauhkan diri daripada institusi     
        masjid.
2)           Menyebabkan mereka berasa masjid bukan tempat untuk kanak-kanak atau orang muda kerana apabila mereka datang ke masjid seolah-olah mereka ini tidak dilayan dan ditempatkan di saf yang paling belakang.
3)           Menyebabkan mereka berasa mereka tiada hak untuk duduk di dalam saf. Hal ini demikian kerana apabila mereka hadir awal dan duduk di saf hadapan pasti akan ada siak yang menyuruhnya ke belakang sedangkan tempat itu merupakan haknya.
4)           Menimbulkan sangka buruk terhadap islam kerana membandingbezakan antara golongan (kanak-kanak dan dewasa).
5)           Menimbulkan rasa benci terhadap orang yang memarahi dan menyuruhnya duduk di belakang.
6)           Menimbulkan perkara buruk apabila mengumpulkan kanak-kanak di satu tempat di belakang masjid. Sudah pasti mereka akan bermain sesama sendiri dan membuat bising seterusnya mengganggu orang yang berada di dalam masjid. Hal ini merupakan fitrah kanak-kanak. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku adalah lebih baik kanak-kanak itu duduk bersama ayahnya atau penjaganya sewaktu berada di dalam masjid kerana hal ini menghalang untuk mereka berkumpul dan membuat bising.
7)           Menghalang ukhuwah silaturrahim. Sekiranya kanak-kanak bersama-sama orang dewasa di dalam satu saf, maka silaturrahim dapat dijalin(sebagai mengambil hikmah solat berjemaah). Tetapi sekiranya tidak, ia hanyalah menghalang ukhuwah silaturrahim.
_____________________________________________________________
      1) Al-Mufassal, jilid 1, muka surat 244-245.
      2) Al-Mughni, jilid 2, muka surat 429.
      3) Mughni al-Muhtaj ila Makrifati Ma’ani alfaz al-Minhaj, jilid 1, muka surat 492.
      4) Tamamul Minnah, muka surat 284.

-WALLAHU A’ALAM-