Kirimkan Surat Pengharapanmu di tengah malam...
Jadikan air matamu sebagai dakwatnya,
Kedua pipimu sebagai kertasnya,
Kepasrahan sebagai setemnya,
Dan arasy Ilahi sebagai alamatnya,
Setelah itu, tunggulah jawapannya...

-Dr Aidh Abdullah al-Qarni-

Saturday, January 8, 2011

UMAT ISLAM PATUT SELAR PEMBAWA HADIS DHAIF(LEMAH) DAN MAUDHU’(PALSU)

Oleh Abdullah al-Bantinji

    Sebagai muslim, kita seharusnya cakna dengan masalah umat islam marcapada yang banyak terjebak dengan amalan-amalan bid’ah dan palsu. Maksud bid’ah  daripada segi bahasa oleh para ulama’ ialah keji. Kita lihat pula maksud yang telah dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, Syarah Hadis 40 Imam Nawawi dalam bab Menghayati Sunnah Dan Menjauhi Bidaah. Menurutnya, bid’ah pada bahasa ialah sesuatu yang dicipta  dengan tidak ada contoh yang terdahulu. Pada syara’ pula ialah sesuatu yang diada-adakan menyalahi suruhan syara’ dan dalilnya. Dan terdapat dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda dalam khutbah baginda, “sebaik-baik bicara ialah kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad S. A.W.,seburuk-buruk perkara ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu bida’h dan setiap bid’ah itu ialah sesat”. Terdapat penambahan dalam riwayat Al-Baihaqi,’Dan setiap keesatan itu di dalam neraka(tempatnya)”.

     Tapi, bukan itu yang hendak saya bicarakan. Mungkin topik ini boleh dibicarakan dalam artikel yang lain. Maudhu’(tajuk) yang ingin dibicarakan lebih menjurus kepada ulum hadis. Kaitannya ialah bagaimana perkara bid’ah dan palsu ini boleh berleluasa? Antara faktor terbesar masalah ini berlaku ialah penyebaran hadis mardud yakni hadis dhaif dan hadis yang sememangnya rekaan yakni hadis maudhu’. Perkara ini amat dikeji oleh Rasulullah di mana baginda bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang sengaja melakukan pendustaan ke atasku, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka”(riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Jadi sudah terang bahawa sesiapa yang sengaja berdusta ke atas Nabi Muhammad, baginya adalah neraka.

      Hadis dhaif pada sudut bahasa ialah lemah, lawan kepada kuat. Manakala menurut istilah ahli hadis, Ibn Al-Salah mentakrifkan hadis dhaif ialah setiap hadis yang tidak menepati syarat-syarat hadis sohih juga syarat-syarat hadis hasan. Ia adalah hadis mardud yakni gugur satu atau lebih syarat-syarat maqbul. Maknanya terdapat I’lah pada matan, sanad, perawi atau lain-lain. Maksud hadis maudhu’ pada sudut bahasa ialah jatuh atau rendah. Hadis maudhu’ pada sudut istilah pula ialah hadis yang diriwayat oleh perawi dusta, khabar yang direka-reka yang disandarkan kepada Nabi S.A.W. , sahabat, atau tabi’in secara dusta, kerana ada muslihat tertentu.

      Malangnya, Islam ini tercemar dengan amalan yang bukan datang daripada ikutan kita, Nabi Muhammad melalui kepalsuan yang menggunakan nama Nabi Muhammad. Mereka(pembuat hadis maudhu’) telah melabelkan rekaan mereka sebagai athar yang datangnya daripada Rasululluh dan menyebarkannya kepada orang ramai. Kesannya banyak hadis palsu yang direka telah tersebar meluas. Saya terbaca sebuah kisah pada zaman dahulu yang menceritakan tentang sebuah kaum banyak mereka hadis palsu. Lalu, pembesar ketika itu menangkap seorang daripada kaum itu yang giat mereka hadis palsu. Sebelum dihukum bunuh, dia telah mengaku bahawa dia seorang sahaja sudah mereka lebih 3000 buah hadis. Cuba bayangkan kalau seorang sahaja sudah mereka lebih 3000 buah hadis palsu, kalau satu kaum pula bagaimana? Berapakah bilangannya?

       Lebih malang lagi apabila penyebaran hadis dhaif ini dipelopori oleh golongan yang terpelajar dan berpengaruh yang memegang gelaran Ustaz melalui ceramah, tazkirah,atau penulisan mereka. Apakah yang menghalang mereka untuk memastikan terlebih dahulu taraf atau martabat hadis-hadis yang ingin disampaikan kepada masyarakat sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam ‘jenayah’ ini dan sekaligus mencabuli prinsip-prinsip dan disiplin ilmu. Inilah umat akhir zaman yang tidak mengkaji sesuatu amalan yang datang malahan terus melaksanakan dan menyebarkannya. Apakah kita tidak mengambil pengajaran daripada kisah umat terdahulu serta mengingkari larangan Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 36? Saya teringat seorang ulama’, “cukup bagiku satu dosa sekiranya aku menyampaikan sebuah hadis yang tidak diketahui tarafnya”.

       Pada zaman Nabi S.A.W. tidak timbul masalah hadis palsu atau hadis maudhu’. Hal ini demikian kerana Nabi S.A.W. bertindak tegas untuk membendung gejala buruk tersebut. Waktu itu juga umat Islam belum menghadapi banyak masalah dan tidak berpecah. Antara lain juga, waktu itu wahyu masih diturunkan. Oleh itu, jika ada pemalsuan,Al-Quran dan wahyu segera diturunkan untuk mendedahkannya. Justeru, pada masa itu, hadis palsu dapat disekat dengan segera. Selepas kewafatan bagida, para sahabat terpaksa berkerja keras menghadapi mereka yang mencipta hadis palsu dan menimbulkan huru-hara dalam Islam. Ia mula ditimbulkan ditimbulkan oleh puak-puak munafik serta golongan Yahudi dan Nasrani. Oleh sebab itulah banyak amalan yang umat Islam masa kini amalkan sebenarnya direka-reka oleh puak Yahudi dan Nasrani terutamanya dalam bab amalan-amalan khusus di bulan haram. Itulah hakikat sebenar secara kasarnya. Ini bukan kata-kata saya. Tapi ini adalah kata-kata sebahagian ulama’ yang arif dalam bidang mereka sendiri terutamanya dalam bidang hadis dan fiqh. Kedua-dua bidang ini berkait rapat. Buktinya ialah penulisan kitab Bulugh Al-Maram yang dikarang oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani yang mendapat merupakan satu daripada tujuh orang Syeikhul Islam yang diberikan oleh Ibnu Albani. Kitab tersebut berkisar tentang Fiqh hadis.

       Menurut pendapat ahli sejarah, bermulanya kelahiran hadis palsu setelah tercetusnya fitnah ataupun pertelingkahan antara Ali dan Muawiyah. Mereka yang mula-mula melibatkan diri secara langsung dengan mereka-reka hadis palsu ialah golongan Syiah. Hal tersebut dibuktikan melalui pengakuan Ibn Abu Al-Hadid yang merupakan seorang syiah yang terkenal dengan katanya,”Bermulanya pendustaan terhadap terhadap hadis-hadis nabi ialah golongan Syiah. Antara faktor perekaan hadis adalah untuk kepentingan puak mereka, mencari kemewahan, dan menunjukkan rasa fanatik terhadap satu fahaman dan pegangan tertentu. Jadi, wajarlah dikatakan bahawa seseorang yang mereka hadis palsu menyerupai Syiah dan siapa yang sengaja menyebarkan hadis palsu, menyerupai Yahudi dan Nasrani. Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong daripada kaum tersebut. 

      Jadi, jika seseorang itu menyampaikannya dengan hasrat untuk menggalakkan umat islam supaya melakukan ibadah, apakah hadis-hadis yang maqbul(sohih dan hasan) sudah habis disampaikan atau ia masih lagi tidak mencukupi? Mungkin ada orang akan berhujah dengan mengatakan hadis dhaif boleh diamalkan dalam beberapa perkara . Memang benar hal ini dibolehkan oleh sesetengah ulama, namun ia masih tertakluk kepada beberapa syarat lain yang perlu diambil kira. Kita lihat syarat lain yang dikatakan oleh para ulama’ dalam ulum hadis. Pertama, hadis ini mestilah berkenaan dengan fadhail a’mal(fadilat-fadilat amalan). Kedua, faktor kedhaifannya bersifat sederhana. Ketiga, mafhum hadis dhaif ada pada nas-nas syara’ yang sohih. Keempat, ketika mengamalkan hadis dhaif ini mestilah mengharapkan kesohihannya. Saya pasti ramai sudah mengetahuinya. Tapi kenapa hadis ini masih menjadi pilihan?

      Memanglah tidak dapat dinafikan bahawa sebahagiannya mengandungi makna yang benar dan sesuai dengan syariat malah bertepatan dengan kajian yang dilakukan oleh manusia. Contohnya tentang kelebihan pada sudut kesihatan apabila seseorang berpuasa, telah terbukti melalui kajian saintifik. Namun, sejauh mana kebenarannya sekalipun, ia masih tetap tidak dibenarkan untuk disandarkan kepada Rasulullah S.A.W. soalnya bukan untuk menafikan kebenaran fakta tersebut, tetapi ia untuk mengelakkan dan menghapuskan pendustaan ke atas Rasulullah S.A.W. jika dalam hal ini diizinkan, maka ia akan membuka ruang kepada golongan yang lain untuk menyertai dalam pembikinan hadis palsu dan berhujah dengannya dalam urusan mereka lalu disandarkan pada baginda. Jangan dianggap dusta ke atas Rasulullah sama sahaja dengan dusta yang dilakukan ke atas orang lain.

       Bagi seseorang yang menyampaikan hadis dhaif berkaitan dengan amalan juga bahaya. Bukanlah tidak dibenarkannya untuk menyampaikannya. Cuma anda perlu pastikan beberapa perkara dahulu. Pertama, anda hendaklah meyebut taraf hadis yang anda sampaikan agar pendengar hadis tidak keliru. Kemudian, pastikan pendengar hadis ada ilmu tentang hadis terutamanya dalam bab yang memperihalkan taraf hadis dan syarat terima dan beramal dengannya. Hal ini demikian untuk mengelakkan pendengar daripada menyampaikan dan menjadikan hadis tersebut sebagai hujah sewenang-wenangnya. Sekiranya beberapa perkara tersebut tidak dipastikan terlebih dahulu pendengar hadis tersebut akan mengamalkannya. Bukan itu masalahnya. Masalahnya ialah apabila si pendengar hadis tersebut menjadikannya sebagai hujah. Lihat, sudah terjadi satu perkara yang tidak dibolehkan oleh para ulma’. Hadis dhaif yang berkaitan dengan amalan ini boleh diamalkan tetapi tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

      Jadi, jika dilihat pada tajuk, saya menggunakan perkataan ‘selar’ untuk orang yang membawa hadis dhaif dan maudhu’. Mungkin perkataan selar ini sesuai digunakan untuk pembawa hadis tersebut bertepatan dengan maksudnya selaras dengan pelaknatan nabi terhadap orang yang sengaja mendustai baginda. Menurut kamus dewan, maksud perkataan selar ialah mengecap(dengan kata-kata), mengecam, membidas(dengan kerasnya). Jadi maksud sebenar tajuk di atas ialah kita patut menyelar orang yang sengaja membawa dan menyebarkan hadis tersebut.

      Contoh hadis maudhu’ yang popular ialah hadis “Rejab ialah bulan Allah, Sya’ban ialah bulanku, Ramadan ialah bulan umatku”. Hadis ini merupakan hadis palsu yang direka oleh Ibnu Jahdam, seorang ahli sufi di Mekah pada suatu ketika dahulu.

      Jadi, kalau kita sudah terlajak(tidak mengetahui) bukanlah termasuk dalam bab ini kerana dalam hadis, nabi menuding kepada orang yang sengaja berdusta kepadanya. Imam Ghazali juga banyak menukilkan hadis lemah dan palsu dalam kitab masyhurnya, Ihya’ Ulumuddin. Hal ini mungkin disebabkan beliau bukan ahli dalam bidang hadis. Namun, beliau bukanlah sengaja menulis hadis tersebut dalam kitabnya. Buktinya beliau tidak mengetahui taraf hadis yang ditulisnya ialah terdapat satu bab dalam kitabnya mengenai larangan menyebarkan hadis palsu. Mungkin saya boleh kongsikan hal ini dalam artikel yang lain. Semoga Allah merahmatinya.

       Justeru’ marilah kita berhati-hati dalam urusan agama. Dunia semakin moden. Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tidak mengkaji hadis yang hendak disampaikan. Renungilah pesanan al-Imam Abdullah ibnu Mubarak,”Untuk mengetahui hadis sahih memerlukan penelitian, sedangkan hadis dhaif begitu mudah di dapati. Semoga Allah mengampuni dosa atas kesalahan yang dilakukan disebabkan kealpaan dan kejahilan kita. Insya-Allah saya akan sambung dalam artikel yang lain. Wallahu A’alam.

No comments:

Post a Comment